Tujuan 1

Wednesday, February 27, 2013



“Woi! Cepatlah!”

Teriakannya kedengaran satu rumah.

 Bebelnya, “Macam ini, kalahlah aku!”

Tangan kanan terus menekan tetikus bertubi-tubi. Tangan kiri pula setia menekan keyboard. Matanya tidak berkelip melihat paparan skrin komputer riba. Mukanya  memerah.

“Ah!”


Matanya membulat. Nafasnya naik turun dengan laju. Kedua tangannya pula menarik-narik rambut. Dia terus menutup komputer ribanya lalu bangun mendekati katil.

“Mengecewakan!”

Akhirnya, dia terus mengempas badan ke atas katil dan menarik selimut berdekatan.

***

“Kenapa dengan adik kita yang seorang itu?”

Amin menggeleng.

Man menyambung, “Bising sampai ke luar. Kalah orang putus cinta.”

Amin tersengih.

Dia berkata, “Ini bukan soal hati sahaja. Ini soal masa depan dia.” Amin ketawa kecil.

Man pula menggeleng, “Ini mesti kerana game dia yang tidak habis-habis itu. Aku rasa kalau ada tsunami melanda pun, dia tidak endah.” Dia mendengus.

Man terus menghirup air teh perlahan-lahan. Kemudian mendongak, “Apa nama game itu?”
Amin mengangkat kening. Dahinya berkerut.

“Rasanya, hari itu si Jat sebut… DOTA.”

Man mengangguk. Detak hatinya, ‘Patutlah. Aku selalu juga mendengar orang ketagih permainan seperti ini. Apalah yang menarik sangat? Nasib baik aku tidak terjebak. Terima kasih, ya Allah.’

Dia terus bangun dan menuju ke pintu bilik juniornya itu, Jat.

***

Jat membuka selimut yang menutupi wajah.

Pintu biliknya diketuk perlahan oleh seseorang.

Sayup-sayup kedengaran suara di balik pintu, “Jat, boleh abang Man masuk?”

“Masuklah. Pintu tidak berkunci.”

Pintu bilik terbuka. Tubuh Man muncul dari balik pintu. Dia terus bergerak mendekati katil Jat. Kemudian duduk di atas kerusi bersebelahan katil itu.

“Tidur?”

Jat menggeleng.

“Sudah solat Asar?”

Jat menggeleng lagi.

Jat melihat sahaja wajah seniornya itu. Tenang. Memang Man selalu mengambil berat tentang dirinya. Setiap pagi, senior tidak pernah lupa untuk mengejutnya bangun menunaikan solat Subuh tepat pada waktunya secara berjemaah di masjid.

Kata senior, kalau kita tidak mampu untuk solat Subuh berjemaah, bagaimana mahu mengubah dunia. Walaupun dia kurang memahami ayat tersebut, tetapi dia sedar hanya orang yang kuat yang mampu bangun awal pagi untuk menunaikan solat Subuh.

“Bila mahu solat Asar?”

Akhirnya Jat bersuara, “Sekejap lagi. Saya sakit kepala sekarang.”

“Oh! Begitu.” Abang Man meletakkan tangannya di atas kepala Jat. “Biar abang urut.”

Wajah Jat merah padam. Dia membisu membiarkan seniornya itu mengurut perlahan.

“Sudah?” Jat mengangguk.

“Kalau begitu, kamu boleh segera bangun dan terus solat.”

Man segera bangun dari kerusi dan bergerak menuju ke pintu bilik. Kemudian dia menoleh ke belakang memandang Jat yang baru berdiri tegak.

“Selepas solat, abang Man mahu ajak kamu bersenam di luar. Mahu?”

Jat mengangkat wajah, matanya membulat, “Beres!”

***

Petang itu redup seperti biasa. Angin bertiup lembut di udara. Pokok-pokok berdekatan bergoyang perlahan. Orang ramai pula memenuhi kawasan di taman itu.

Kelihatan dua orang pemuda sedang berlari-lari anak di atas laluan pejalan kaki.

“Jom! Kita berehat sebentar di bangku itu.” Mereka berdua terus bergerak mendekati dan duduk di atas bangku panjang itu.

“Wah! Tenangnya hati apabila dapat bersenam. Lagipun, Taman Al-Azhar memang cantik. Tidak rugi saya mengikut abang Man ke sini.” Jat mula berbicara. Man pula mengangguk.

“Kamu itu perlu datang ke sini setiap hari. Ini tidak! Setiap petang mengadap skrin komputer kamu sahaja. Mana tidak sakit kepala.” Jat tersengih mendengar bebelan Man.

“Macam mana dengan pelajaran kamu?”

“Tiada masalah.”

Man mengangguk. Kemudian menggeleng. Jat mengangkat kening melihat perilaku Man.

Man juga mengangkat kening, “Kenapa?”

“Pelik. Mula-mula mengangguk, kemudian menggeleng. Apa maksudnya?” Man ketawa kecil.

“Mengangguk tanda setuju kamu itu tiada masalah dalam belajar. Menggeleng tanda pening kepala memikirkan aktiviti kamu seharian. Sehingga solat pun jadi lambat.”

Jat tersengih. Kemudian berkata, “Entahlah, susahlah untuk tinggalkan game  itu.”

Man melihat setiap orang yang melintas di hadapan mereka. Ada pasangan. Ada keluarga. Ada yang bersendirian. Semuanya dengan aktiviti masing-masing.

Kemudian dia melihat wajah Jat, “Kamu mahu abang kongsikan satu ayat al-quran?”

Jat mengangkat kepala. Dia mengangguk.

Man membacakan satu ayat al-quran daripada surah Az-Zariyat, ayat ke-56, kemudian berkata, “Maksudnya, Allah berfirman, tidak Aku ciptakan manusia dan jin kecuali hanya untuk beribadah.”

Jat mendengar dengan teliti. Bisik hatinya, ‘Merdu juga suara senior aku ini.’

“Jadi, sebagai seorang muslim, kita perlu tahu tujuan utama kita dihidupkan di atas muka bumi ini, iaitu semata-mata untuk beribadah kepada Allah.”

Jat mula bertanya, “Ibadah ini bukan sekadar melaksanakan apa yang termaktub dalam rukun Islam sahaja, betul?”

Man mengangguk, “Ya. Tetapi lebih luas lagi pengertiannya.”

“Secara mudah, ibadah adalah kita sentiasa ingat kepada Allah dalam kehidupan seharian kita, serta taat kepada segala suruhan-Nya.”

“Oh! Begitu. Baru saya faham. Jadi, kalau saya main game dan ingat kepada Allah, dikira ibadah juga?”

Man ketawa kecil, “Ke situ pula kamu. Kamu rasa kamu sentiasa ingat Allah semasa bermain game itu?”

Jat tersengih. Kemudian menggeleng perlahan.

Suasana sekeliling ceria dengan hilai tawa mereka berdua. Tetapi manusia lain tetap dengan aktiviti mereka tanpa menghiraukan Man dan Jat.

Man melihat jam tangannya.

“Sudah hampir malam. Jom, kita pulang! Boleh bersiap-siap sebelum azan Maghrib.”

Mereka terus bangun dari bangku dan bergerak meninggalkan kawasan itu.

Dalam perjalanan, hati Man berbisik, ‘Moga Jat memahami apa yang aku ingin sampaikan. Ya Allah, permudahkanlah.’