Cabaran Certot - Kejar

Tuesday, July 30, 2013

“Woi…!” Naufal menolak badan Hifdzan ke belakang.
“Kau ni kan, sembang kau tahu tak.”
“Aku rasa kau ni tahan sepuluh hari sahaja.”
“Tak. Lima hari saja bertahan!”
Ket melihat paparan skrin laptop. Matanya tidak berkedip menonton aksi pelakon dalam filem pendek itu.
“Ok, macam ni lah.”
“Aku cabar kau! Aku cabar kau! Kalau kau boleh tahan sampai akhir bulan…,” Naufal menyambung kata-katanya, “ Aku tabik kau!”
Hifdzan merenung tajam mata Naufal. Kemudian dia berkata perlahan, “Aku terima.”
Sekali lagi, Hifzan mengulang kata-katanya tetapi dengan nada yang lebih tinggi, “Aku terima!”
“Aku terima.” perlahan Ket menuturkan. Seakan-akan dialah yang dicabar.
***
Ket mengambil kasut sukan yang berada di atas rak kasut bersebelahan pintu rumah. Dia menyarungkan pada kakinya dan menyimpul tali kasut itu dengan kemas.
Tiba-tiba muncul satu suara dari arah belakang, “Hai, semangat nampak. Siap mahu pergi bersenam lagi petang ini. Ramadhan sebelum ini biasanya cuma terbaring lembik sahaja di rumah.”
Ket menoleh ke belakang dan berkata, “Oh, kau Meor! Kau tidak mahu ikut aku bersenam juga?”
Meor tersenyum lebar.
“Ah, malaslah aku! Baik aku pergi jalan-jalan di Bazar Ramadhan. Boleh juga membeli juadah berbuka puasa nanti. Apa kata, kau ikut aku pergi sana. Bersenam di Bazar Ramadhan.”
Ket berdiri tegak dan berpusing ke belakang. Kemudian meletakkan tangannya di pinggang seraya berkata, “ Hei, kawan! Itu bukan bersenam namanya. Banyak pula perhentiannya nanti. Peluh pun tidak sempat keluar.”
Meor ketawa melihat gaya kawannya itu, “Kau ini serius sangat. Di bulan Ramadhan mana ada orang bersenam waktu-waktu begini. Bertambah letih sahaja.” Ket mencebik.
Dia mula bergerak meninggalkan perkarangan rumah sewanya tanpa menghiraukan Meor.
“Ket....”
Ket berpaling ke belakang. Meor merenungnya sambil mengangkat sebelah kening.
“Kenapa tiba-tiba berubah?”
Senyuman Ket meleret panjang dan berkata, “Ada lah. Rahsia.” Kemudian dia terus bergerak dan menghilang perlahan-lahan dari pandangan Meor.
Meor menggeleng perlahan mendengar jawapan kawannya itu. Dia menutup pintu rumah. Rumah sewa itu dikongsi olehnya bersama dengan tiga orang kawan-kawan sekuliah yang lain. Ket, Man dan Syed. Antara mereka, dia paling rapat dengan Ket kerana mereka berdua adalah sekampung.
Meor sebenarnya gembira melihat perubahan Ket pada bulan Ramadhan tahun ini. Seingat Meor, pada tahun lepas Ket hanya menghabiskan masa siangnya dengan tidur sahaja. Tidak pun, dia akan mengadap laptopnya seharian.
Ya. Ket memang berubah. Sejak hari pertama puasa lagi, Meor melihat Ket selalu berdamping dengan al-quran. Bila membuka laptop, ceramah-ceramah agama sering dimainkan. Pada malamnya pula, dia akan solat Tarawih dengan penuh beserta solat Witir.
Getus hati Meor, ‘Pelik. Tiba-tiba berubah.’
‘Ah, biarkanlah! Asalkan, dia jadi lebih baik.’
***
Meor memberhentikan motornya di halaman rumah. Dia mengangkat tiga bungkusan kuih muih dari raga motor. Semua itu dibelinya sebentar tadi di Bazar Ramadhan bagi berbuka puasa di rumah bersama kawan-kawannya yang lain.
Dia turun dari motor dan bergerak ke pintu rumah lalu membukanya. Seusai pintu itu terbuka luas, terlihat kelibat seseorang yang terbaring di atas sofa di bahagian ruang tamu.
Gumam Meor, “Huh, tidur lagi hari ini!”
Tanpa menghiraukan orang itu, Meor terus bergerak masuk menuju ke dapur rumah. Bungkusan kuih muih itu diletakkan di atas meja.
Dia menjerit, “Man, mari tolong aku di dapur ini!”
Man tiba dari sebuah bilik berdekatan. Tanpa berlengah, dia terus menolong Meor menyediakan juadah berbuka puasa.
“Kau sudah kejut Ket?” Man mengangguk. Nampaknya kejutan tidak mampu membangunkan Ket dari tidurnya.
“Tiba-tiba berubah lagi. Semangatnya bertahan untuk sepuluh hari awal sahaja. Kemudian, terus seperti masa-masa yang lalu,” ngomel Meor.
***
Azan Maghrib sayup-sayup kedengaran.
“Bismillahirahmanirahim…,”
Meor mengetuai bacaan doa berbuka puasa. Ket, Man dan Syed mengaminkan. Juadah yang tersedia terus dijamah dimulai dengan kunyahan buah kurma.
Meor memulakan bicara, “Hai, Ket. Kenapa tiba-tiba berubah pula? Bukankah pada awalnya kau sungguh bersemangat.?”
Ket tersengih. “Aku sudah letih, Meor. Tidak lagi seperti awal-awal dahulu,” jawabnya bersahaja.
“Itulah kau. Bersemangat sangat. Kalau ingin berubah, pastikan berterusan. Bukankah Rasulullah s.a.w. pernah bersabda bahawa Allah sangat suka kepada hamba-Nya yang berterusan dalam amal kebaikan walaupun sedikit?”
Man di sebelah Ket mengangguk tanda bersetuju dengan kata-kata Meor.
Syed pula berkata, “Sekarang ini kita telah memasuki sepuluh Ramadhan terakhir. Sepatutnya ketika inilah amalan kita semakin bertambah. Bukannya berkurang. Para sahabat dahulu sanggup tidak tidur malam semata-mata mahu mengejar malam Lailatul Qadar. Kamu tahu?”
Ket menunduk malu.
“Aku tidak bolehlah. Nampaknya Ramadhan kali ini juga aku tidak mampu mengejarnya.”
Meor memegang bahunya perlahan. “Ket.”
Ket perlahan-lahan mengangkat wajah.
“Kita sudah besar sekarang. Sudah beberapa tahun kita berpuasa.” Meor menyambung, “Mustahil tidak boleh.”
Ket membulatkan mata. “Accepted?” Meor tersenyum sambil mengangguk.
Ket mula tersenyum.
“Baiklah. Jom kejar!”

*Untuk cerita yang lebih menarik, sila tonton cerita seperti gambar di atas melalui link ini: http://www.youtube.com/watch?v=1ZO_hiRlfyA
Selamat menonton ya. :)



No comments: