(gambar hiasan)
Ya! Pemisah antara Islam dan kekufuran. Antara cahaya dan kegelapan. Antara wahyu dan nafsu. Antara kebenaran dan kebatilan.
Hari ini bersamaan 17 Ramadhan 1434 H sekali lagi membawa kita kepada perbincangan nuzul al-quran di mana kisah ini merupakan kisah yang cukup bermakna bagi umat Islam. Pada hari inilah, hari pertama al-quran diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. di Gua Hira’.
Tetapi di sebalik kisah tersebut, terselit sebuah lagi kisah besar yang sangat penting dalam sejarah penyebaran Islam pada tarikh yang sama iaitu perang Badar. Peperangan ini begitu penting sehingga digelar sebagai ‘Yaumul Furqan’ iaitu hari pemisah.
Ya! Pemisah antara Islam dan kekufuran. Antara cahaya dan kegelapan. Antara wahyu dan nafsu. Antara kebenaran dan kebatilan.
Kebanyakan daripada kita sudah tahu kesudahan peperangan ini. Akhirnya, tentera Islam yang telah dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. sebanyak 313 orang menang. Mereka berjaya menewaskan kaum Musyrikin Mekah yang dipimpin oleh Abu Jahal dengan bilangan seramai 1000 orang!
Akan tetapi, pada kali ini, suka untuk saya menulis berkenaan sebuah ayat yang mengisahkan tentang perkara yang berlaku selepas peperangan Badar. Setelah saya mengiuti satu kuliah Tafsir al-quran dua hari yang lepas.
Sama-sama kita hayati ayat di bawah:
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْأَنْفَالِ ۖ قُلِ الْأَنْفَالُ لِلَّهِ وَالرَّسُولِ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَصْلِحُوا ذَاتَ بَيْنِكُمْ ۖ
وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ
Maksudnya: Mereka menanyakan kepadamu (Muhammad) tentang (pembahagian) harta rampasan perang. Katakanlah: “Harta rampasan perang itu milik Allah dan rasul, sebab itu bertakwalah kepada Allah dan perbaikilah hubungan di antara sesama kamu, dan taatlah kepada Allah dan rasul-Nya jika kamu orang-orang yang beriman.
(Surah al-Anfal, ayat 1)
Pada awal ayat ini memberitahu kita bahawa para sahabat telah berjumpa Rasulullah s.a.w. untuk bertanyakan tentang pembahagian harta rampasan. Kebiasaannya, para sahabat tidak akan bertanyakan sesuatu kepada Rasulullah s.a.w kecualilah jika ada masalah di antara mereka.
Jadi, dalam kisah ini, apa yang telah berlaku sehingga memaksa mereka bertemu Rasulullah s.a.w.?
Sebenarnya, permasalahan yang berlaku adalah para sahabat telah berebut harta rampasan perang ketika mana harta itu dibahagikan sesama mereka.
Berebut?
Para sahabat berebutkan harta rampasan perang?
Siapakah mereka ini?
Bukankah mereka adalah daripada kalangan awal Muhajirin dan Ansar?
Kaum Muhajirin. Bukankah mereka ini sanggup meninggalkan segala harta benda di Mekah demi menyahut seruan daripada Allah dan rasul-Nya untuk berhijrah ke Madinah?
Bagaimana pula dengan kaum Ansar? Mereka pula adalah golongan yang telah menyambut ketibaan kaum Muhajirin dari Mekah dan melayan mereka sebaiknya, berkongsi harta dan makan minum yang ada. Sehingga dikisahkan ada yang sanggup menceraikan salah satu isterinya untuk dikahwinkan dengan sahabat mereka dari Mekah.
Mereka ini adalah golongan yang Rasulullah s.a.w sebut sebagai golongan terbaik sepanjang zaman. Tetapi, mereka tetap tidak terlepas daripada ujian yang berat.
Dalam perang Badar, akhirnya kerana harta mereka sanggup bergaduh. Sanggup berhasad dengki. Sanggup berkata yang buruk kepada sahabatnya.
Peristiwa ini diriwayatkan ketika mana Ubadah Bin Shamit berkata, “Surah ini diturunkan mengenai kami, tentera perang Badar sewaktu kami berselisih mengenai rampasan perang, dan akhlak kami sangat buruk ketika itu.”
Hanya kerana mahu berebut harta rampasan perang!
Kemudian, turunlah ayat ini sebagai jawapan kepada permasalahan mereka. Lalu, seluruh pembahagian harta rampasan itu terserah kepada pembahagian oleh Allah dan rasul-Nya.
Kemudian Allah menambah lagi di dalam ayat tersebut,
ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ وَأَصْلِحُوا ذَاتَ بَيْنِكُمْ ۖ وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ
Allah beri 3 solusi utama, iaitu:
- bertaqwalah kepada Allah. (menguatkan hubungan antara hamba dan penciptanya)
- dan perbaikilah hubungan antara kamu. (menguatkan hubungan persaudaraan Islam)
- dan taatlah kepada Allah dan rasul-Nya.
Allah berfirman lagi,
إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ
“Sekiranya kamu benar-benar beriman.”
Inilah peringatan awal daripada Allah kepada para pejuang agama-Nya. Generasi awal telah memberikan kita satu contoh, bahawa walaupun selepas kemenangan Islam tercapai, kita tetap tidak terlepas daripada ujian bagi membuktikan kita ini benar-benar beriman.
Kemenangan itu pasti, tetapi adakah kita bersedia untuk menerima kemenangan?
Oleh itu, persiapkanlah diri kamu wahai para pejuang agama Allah. Tarbiyah diri, keluarga dan masyarakat supaya kita mampu menjadi orang yang benar di atas jalan Allah.

No comments:
Post a Comment