Nasib Sebuah Keluarga

Tuesday, April 23, 2013


Al-kisah diceritakan, dalam sebuah bandar terdapat sebuah keluarga yang hidup dalam kesejahteraan. Keluarga ini terdiri daripada seorang lelaki tua bersama isterinya dan tiga orang anak lelaki.

Si ayah, Dato Leman adalah seorang usahawan yang sangat berjaya sehingga mampu memiliki sebuah bangunan pencakar langit yang menjadi pusat kerjayanya. Isterinya pula, Puan Siti sebagai pembantunya dan dalam masa yang sama adalah seorang suri rumah yang sangat bertanggungjawab.


Anak sulung yang sudah meningkat dewasa bernama Abu. Anak ke-2 pula bernama Usop dan yang bongsu serta masih kecil bernama Said. Ketiga-tiga anak lelaki ini sangat dijaga oleh Dato Leman dan Puan Siti bagai menatang minyak yang penuh.

Makan minum mereka mencukupi. Pakaian mereka dijaga. Pendidikan mereka diutamakan. Jika mereka sakit, Dato Leman dan Puan Siti akan berusaha sedaya mungkin untuk menyembuhkan ketiga-tiga anak mereka.

            Pada suatu hari, Dato Leman pulang dengan membawa seorang budak lelaki yang bernama Ken. Ken sebaya dengan Usop. Ken baru kehilangan ayah dan ibunya selepas mereka sekeluarga mengalami satu kemalangan jalan raya.

Jadi, selepas Dato Leman berbincang dengan Puan Siti, mereka berdua bersetuju untuk mengambil Ken sebagai anak angkat mereka. Maka semakin meriahlah kehidupan mereka selepas bertambah seorang lagi ahli keluarga.

Tiga tahun kemudian, berlaku tragedi rompakan ke atas rumah mereka. Ketika itu, hanya Dato Leman dan Puan Siti yang berada di dalam rumah. Dato leman cuba melawan tetapi nasib tidak menyebelahi mereka. Mereka berdua dibunuh dan banyak barang yang telah dirompak.

Akhirnya, tinggallah seorang pemuda bersama ketiga-tiga adiknya tanpa ibu dan ayah mereka. Abu, sebagai seorang abang yang sudah mulai matang, diberi kepercayaan untuk meneruskan perusahaan oleh arwah ayahnya. Di samping itu juga, dia terpaksa mengurus kehidupan tiga orang adiknya yang masih belum matang dan juga menjaga semua harta yang telah ditinggalkan untuk mereka berempat.

Hari berlalu hari. Bulan berlalu bulan. Tahun berlalu tahun. Kehidupan mereka nampak semakin stabil. Usop, Said dan Ken juga semakin dewasa. Abu pula sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki.

Selepas berkahwin, tiba-tiba perangai Abu berubah. Abu mula tamakkan harta. Dia merasakan dialah yang paling layak untuk mengambil semua harta keluarganya kerana paling berjasa dalam meneruskan kembali perusahaan arwah ayahnya. Dia cuba merancang supaya semua harta menjadi miliknya sahaja.

Tetapi, Usop dan Ken yang semakin matang dapat menghidu rancangan jahat Abu. Said yang bongsu pula hanya sibuk dengan kehidupannya.

Sebelum terlambat, Usop terus menuntut semua harta warisan kepunyaannya. Namun, tidak diendahkan. Akhirnya, hubungan Abu dan Usop sebagai saudara kandung tidak lagi seperti dahulu. Usop sangat membenci abang kandungnya sendiri. Hampir-hampir sahaja Usop memutuskan hubungan persaudaraan antara mereka berdua.

Lain pula kisahnya si Ken. Selepas mengetahui rancangan jahat Abu, Ken hanya banyak mendiamkan diri. Ini kerana dia hanyalah seorang anak angkat. Dia hanya menumpang kekayaan keluarga ayah angkatnya sahaja.

Tetapi, kerana memikirkan masa depannya, Ken mula merancang. Dia perlu bertindak segera supaya dia mampu menguasai harta keluarga angkatnya. Tanpa membuang masa, Ken terus berjumpa dengan Usop. Dia tahu Usop boleh dipergunakan kerana Usop sangat membenci Abu. Akhirnya, Usop bersetuju tanpa mengetahui niat jahat Ken.

Berlakulah apa-apa yang akan berlaku.

Abu terus menindas adik-adiknya. Dalam masa yang sama, Usop dan Ken berusaha menentang.

Abu cuba memburuk-burukkan Ken dihadapan Usop supaya Usop tidak lagi bersama dengan Ken. Tetapi Usop terus mempercayai Ken kerana terlampau membenci Abu walaupun hakikatnya Ken memang mencuba untuk mempergunakan Usop.

Pergaduhan mereka ini mula disedari oleh Said. Said terlalu sedih dengan apa yang berlaku dalam keluarganya. Dia merasakan sudah sampai masanya untuk dia bertindak.

Bertindak untuk meleraikan pergaduhan ini. Menyedarkan yang menindas dan juga yang ditindas. Walaupun dia terpaksa menerima hakikat bahawa dia bakal dibenci oleh ketiga-tiga abangnya kerana tidak memihak kepada sesiapa pun.

Masihkah ada harapan untuk keluarga ini?
Apakah Said mampu meleraikan pergaduhan ini?
Adakah cara Said ini akan membantu?
Atau sekadar merumitkan lagi keadaan?

Ya. Said sedar ia bukanlah sesuatu yang mudah. Tetapi, dia sangat yakin dengan kefahaman dan kelebihan yang dimilikinya, dia akan mampu.

Jika dia tidak bertindak segera, bila lagi?

No comments: